Negeri Kelantan adalah sebuah daripada 13 buah negeri di Malaysia yang kaya dengan sumber asli. Mempunyai keluasan lebih kurang 14,922 km persegi, terletak di Timur laut semenanjung Malaysia, berhadapan dengan Laut China Selatan. Malaysia meliputi 336,700 km persegi yang terdiri daripada semenanjung Sabah dan Sarawak di Kepulauan Borneo. Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, ialah sebuah bandar yang sibuk sebagai pusat tumpuan bagi pentadbiran dan aktiviti perniagaan. Negeri ini terbahagi kepada 10 jajahan pentadbiran iaitu, Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang. Negeri Kelantan menikmati iklim tropika yang baik, di mana hampir setiap tahun hujan turun dengan berselang-seli mengikut bulan tertentu pada setiap tahun. Biasanya hujan yang lebat akan berterusan selama beberapa hari atau beberapa bulan akan turun pada bulan November, Disember dan Januari.
TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI KELANTAN
Nama asal Pasar Besar Siti Khadijah ialah Pasar Besar Buluh Kubu. Walaubagaimanapun ianya telah ditukar namanya kepada nama ini oleh Menteri Besar Kelantan sebagai tanda penghormatan kepada kaum Hawa, memandangkan majoriti peniaganya terdiri daripada golongan wanita.
Satu pemandangan yang unik di pasar-pasar di Kelantan ialah peniaganya yang rata-rata terdiri daripada kaum wanita yang terkenal dengan minat berniaga .
Pasar ini mempunyai 4 tingkat dan berbentuk segi lapan. Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat 1 pula diperuntukkan kepada barangan makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat Ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling "tersohor" bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti kuih "tahi itik, akak, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita, dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3, untuk barangan bukan makanan.
PANTAI CAHAYA BULAN (PCB)
Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di negeri Kelantan, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Kota Bharu dan merupakan kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika dia di pantai ini pada masa Perang Dunia II. Pada masa itu, askar tersebut sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB. Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional . Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket, dan pembuatan layang-layang serta loyang.
WAKAF CHE YEH
Wakaf Che Yeh adalah sebuah pasar malam terbuka yang terletak kira-kira 4km di luar bandar Kota Bharu. Mempunyai keluasan suku ekar, ia adalah tempat untuk membeli makanan ringan tempatan, buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta makanan laut. Terdapat juga deretan warung peniaga yang menjual aneka pakaian lelaki dan juga pakaian wanita.
Wakaf Che Yeh beroperasi sepanjang masa dengan fungsi yang berbeza-beza ia merupakan pasar borong di waktu pagi, pasar basah diwaktu siang dan berubah menjadi pasar malam pula setelah matahari terbenam. Saksikanlah situasi tawar-menawar dan teriakan peniaga-peniaga mempromosikan barangan jualan mereka sembil berbual mesra sesama sendiri.
BAZAR BULUH KUBU (BAZAR BATIK)
Mengunjungi kompleks membeli-belah tiga tingkat ini menjadi kemestian bagi mereka yang gemar membeli-belah dan mengumpul barangan kraf. Di sini, pengunjung dapat memperoleh barangan kraf seperti kasut buatan tangan, replika alat muzik miniature, wau yang berwarna-warni, beg-beg, barangan perak yang cantik, aksesori dan pelbagai jenis barangan yang lain. Harga yang berpatutan di sini menjadikan bazar ini amat popular dikalangan penduduk tempatan dan juga pelancong luar.